Usah gadai kemakmuran negara di bawah BN - Idris Haron
ALOR GAJAH: Rakyat diingatkan tidak sesekali cuba menggadai nikmat kemakmuran di bawah lembayung Barisan Nasional (BN) dan harus mempertahankan rekod cemerlang kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/06idris3a.transformed.jpg)
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (tengah) bersama Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah merangkap Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (kiri) ketika hadir sempena Program Bersama Rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batang Melekik, Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning. Turut hadir calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning (N.05), Datuk Latipah Omar (kanan). - Foto Rasul Azli Samad
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata rekod cemerlang BN yang memerintah negara sejak merdeka terbukti dengan pembangunan pesat, kemakmuran ekonomi serta kerukunan hidup bermasyarakat antara semua kaum di negara ini.
"Sekiranya ada salah silap dan terguris, ketepikan dulu perasaan itu kerana yang penting adalah memenangkan calon BN dalam PRU-14.
"Struktur rumah ini (BN) sudah dibina dengan baik untuk manfaat semua rakyat. Usah kita cuba membakar kelambu kerana bertindak mengikut emosi bimbang kelak nasib anak cucu kita tidak dapat lagi dipertahankan sebagaimana nasib negeri lain yang bukan di bawah BN," katanya.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/06idris2.transformed.jpg)
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Program Bersama Rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batang Melekik, Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, di sini, malam tadi.
Idris yang hadir bersama isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah turut dilihat beriringan masuk ke dalam rumah di dalam PDM Batang Melekik itu bersama Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah merangkap Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Kedua-duanya kemudian mengadakan perbincangan secara tertutup selama kira-kira 15 minit.
Yang hadir sama, calon kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin bersama lima calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Masjid Tanah iaitu Datuk Ismail Othman di DUN Kuala Linggi; Datuk Md Rawi Mahmud (DUN Tanjung Bidara); Datuk Amirudin Yusof (DUN Ayer Limau); Datuk Sulaiman Md Ali (DUN Lendu) dan Datuk Wira Latipah Omar (DUN Taboh Naning).
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/06idris1.transformed.jpg)
Mengulas majlis dianjurkan bersama kira-kira 300 penduduk itu, Idris turut menghargai peranan dan pengalaman dimainkan Ab Rauf di peringkat kepemimpinan UMNO bagi membantu menangani krisis dalaman kepemimpinan calon parti, khususnya menjelang PRU-14.
Sementara itu, Ab Rauf berkata, pengundi Melaka khususnya di Masjid Tanah dinasihatkan tidak salah membuat percaturan kerana kesilapan memilih calon boleh menyebabkan kepemimpinan BN jatuh kepada pembangkang.
"Lihat bagaimana dengan hanya berbisik-bisik sebelum menjelang PRU-12, akhirnya bukan hanya Menteri Besar, Datuk Seri Khir Toyo yang kalah, Selangor dan juga UMNO dan BN boleh tewas.
Biar ia tinggal sejarah, sebaliknya kita terus mencipta kegemilangan dengan memenangkan calon BN," katanya.
Sumber : Berita Harian