'Apa motif Zul?'
SUNGAI PETANI: Pelakon Zahirah Macwilson mempersoal tindakan bekas kekasihnya, Zul Ariffin yang melempar tuduhan tidak benar selepas hubungan mereka putus lebih sebulan lalu.
Mengakui terkejut dengan kenyataan pelakon J Revolusi itu selepas perpisahan mereka, Zahirah, 23, menyifatkan ia sebagai fitnah yang cuba merosakkan nama baiknya.
ZAHIRAH Macwilson mempersoal tindakan bekas kekasihnya, Zul Ariffin yang melempar tuduhan tidak benar selepas hubungan mereka putus. - Foto NSTP
"Saya tunggu apa pula kenyataannya selepas ini. Saya tidak pasti apakah dia akan terus membisu selepas melemparkan pelbagai tuduhan kepada saya. Sedap sahaja tuduh saya itu dan ini, selepas itu senyap," katanya.
Zul semalam, membuat pengakuan hubungan cintanya selama lebih tiga tahun dengan Zahirah terlerai sejak lebih sebulan lalu.
Dalam pengakuannya itu, Zul berkata, hubungan mereka tidak mungkin bertaut kembali kerana jika diteruskan, ia bererti dia menganiayai diri sendiri.
Pelakon Tombiruo itu juga reda apabila kepincangan hubungan yang berpanjangan tidak mampu dipulihkan lagi.
"Kalau melihat orang 'berselfie' dengan gembira kira-kira 20 meter dari jenazah ibu tanpa rasa sensitif, inikah orang yang layak dibuat pasangan hidup?
"Itulah perasaan saya ketika melihat Zahirah seronok 'berselfie' bersama seorang teman berdekatan jenazah arwah ibu saya ketika dalam masjid," kata Zul yang kehilangan ibu tercinta, Robiah Nasir, 5 Disember lalu.
Mengulas dakwaan itu, Zahirah berkata, dia masih waras dan tidak tergamak untuk berbuat demikian ketika orang lain sedang bersedih.
"Hanya orang gila sahaja yang akan berbuat begitu ketika orang sedang bersedih. Semua itu fitnah. Apa tujuan dia memburukkan saya selepas hubungan kami berakhir?," katanya.
Sumber : Berita Harian