Haram pilih pemimpin yang cuba merosakkan akidah - Mufti Pahang
KUANTAN: Umat Islam diingatkan tidak bersekongkol dengan mana-mana pihak yang cuba memesong dan menentang syariat Islam sekali gus mengangkat mereka sebagai pemimpin.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/Abdul_Rahman_Osman336565.transformed.jpg)
MUFTI Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman. - Foto Farizul Hafiz Awang
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, adalah haram dan berdosa besar sekiranya umat Islam menjadikan golongan berkenaan sebagai pemimpin demi mencapai matlamat politik.
"Kalau ada pihak yang dah nak benarkan kegiatan LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender) di negara ini serta menentang hukum Allah kenapa orang Islam perlu sokong serta bersama mereka...dalam soal akidah tiada kompromi dan umat Islam perlu bersatu.
"Jika hendak tegakkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) juga kita perlu bersatu...ketepikan ideologi politik dan kembali kepada akidah," katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.
Beliau turut mengingatkan umat Islam bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah medan terbaik kembali memperkukuhkan ukhuwah sesama mereka dan memilih pemimpin yang memperjuangkan akidah umat Islam di bandar serta luar bandar.
Katanya, umat Islam perlu bersatu mempertahankan kedaulatan agama Islam sebagai agama rasmi Perlembagaan Persekutuan dan menolak anasir yang cuba menggoyahkannya.
"Nabi Muhammad SAW sudah berpesan jika kita (umat Islam) berpecah kembalilah kepada tali (agama) Allah dan Rasul. Soal berkaitan akidah tidak boleh dipandang remeh....ini kita perlu jelas dan faham," katanya.
Abdul Rahman turut menekankan bahawa apa yang dikecapi sebagai umat Islam pada hari ini dapat dikekal dan terus diperkukuh demi kesejahteraan generasi akan datang.
Sumber : Berita Harian