Tun M hanya tunggangan DAP - Najib
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad, hanya sekadar kuda tunggangan untuk merealisasikan motif politik DAP yang ketika ini semakin jelas di kaca mata rakyat.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/bh7kuda-o_field_image_top_news_featured.variant.jpg)
Datuk Seri Najib Razak berkata, realiti berkenaan dibuktikan di siri pentas ceramah kendalian pimpinan utama DAP, termasuk calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai, P Ramasamy dan Nga Kor Ming (calon DAP bagi Teluk Intan).
"Ramasamy sendiri menerusi ceramah terbuka kata mereka tidak lupa apa Dr Mahathir lakukan sebelum ini, tapi hanya nak gunakannya untuk tarik undi Melayu.
"Kor Ming pula memecah tembelang DAP bahawa fungsi Tun M (Dr Mahathir) adalah untuk selesaikan kerja, iaitu tumbangkan BN, malah sanggup menghina pemimpin veteran berkenaan membabitkan soal nyawa beliau," katanya dalam temu bual program Mandat di Studio Sri Pentas dan disiarkan secara langsung di TV3, malam tadi.
Yang turut hadir, Pengerusi Media Prima Bhd (MPB), Tan Sri Ismee Ismail; Pengarah Urusan Kumpulan MPB; Datuk Kamal Khalid; Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen MPB, Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Jalil Abdul Hamid dan Ketua Pengarang NSTP, Datuk Yushaimi Maulud Yahaya.
Program temu bual yang julung kali diadakan itu menampilkan moderator pakar Geostrategis, Azmi Hassan dan Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian.
Pengerusi BN itu berkata, percaturan pembahagian kerusi menyaksikan DAP adalah 'kepala' pakatan pembangkang walaupun kenyataan itu sering dinafikan bagi mengaburi pengundi Melayu.
"Ideologi mereka (pembangkang) sangat berbeza, tapi hakikatnya gabungan berkenaan dikepalai DAP yang mempunyai jumlah kerusi paling banyak ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), khususnya di kawasan bandar.
"Selain itu, kita lihat gelagat mereka, misalnya Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) yang mengumumkan dua 'orang kanannya', termasuk Kor Ming jadi menteri.
"DAP belum ada kuasa mutlak tetapi sudah umum (percaturan barisan Kabinet), sekali gus membuktikan bahawa parti berkenaan yang menguasai pembangkang," katanya.
Najib berkata, rakyat tidak wajar 'termakan' momokan bahawa gerakan mengubah tampuk pemerintahan kerajaan pasti membawa kebaikan.
Perdana Menteri berkata, gambaran sedemikian yang sering 'disajikan' kepada golongan muda mungkin meleset berpandukan pergolakan yang dialami beberapa negara di seluruh dunia.
"Ini sentimen, tetapi kita tidak boleh anggap perubahan itu semestinya bawa kebaikan, contohnya Arab Spring yang menyaksikan gerakan kononnya menukar kerajaan diktator.
"Situasi sama dapat kita saksikan di Mesir, Tunisia, Libya, Syiria Iraq dan Afghanistan. Negara ini hancur lebur.
"Orang muda dimomokkan mengenai gerakan untuk mengubah kerajaan tapi tidak tahu ke arah mana. Kalau nak ubah, perlu ke arah lebih baik," katanya.
Najib berkata, sentimen 'tukar kerajaan menyuburkan kadar pembangunan' seperti dicerminkan di Amerika Syarikat itu perlu dilihat menerusi sisi berbeza.
Katanya, kerajaan mengemukakan agenda transformasi bagi menggarap pembangunan lebih rancak dan baik untuk masa depan negara, berbanding pembangkang yang asyik menabur fitnah serta janji kosong.
"Sebab itu kita merencana Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk memacu hala tuju Malyasia ke suatu masa depan yang lebih dinamik, tanpa perlunya perubahan tampuk kepemimpinan negara.
Bakal mempertahankan kerusi Pekan untuk penggal ke-10 sejak 1976, Najib menyifatkan, PRU-14 adalah pertembungan Barisan Nasional (BN) dengan ditunjangi UMNO dan pakatan pembangkang yang rapuh.
Mengakhiri bual bicara, Najib memberi gambaran bahawa BN semakin 'digemari' di Kelantan, sekali gus menyaksikan peluang untuk mengambil alih pemerintahan Negeri Serambi Makkah itu daripada PAS.
"Mungkin kerana saya tak ambil pendekatan mendera orang Kelantan walaupun mereka pilih PAS, justeru ada kemungkinan mereka beralih (kepada BN) kali ini.
"Apa pun kita kena bekerja bersungguh-sungguh. Mungkin akan timbul kesedaran di seluruh negara bahawa BN adalah pilihan terbaik," katanya.
Sumber : Berita Harian