Pembangkang tak pernah datang program penerangan 1MDB
PETALING JAYA: Tiada seorang pun pemimpin pembangkang yang sebelum ini lantang menyelar 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hadir pada 31 program sesi penerangan dan soal jawab mengenai syarikat itu di seluruh negara.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/Arul_Kanda2554.transformed.jpg)
Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB), Arul Kanda Kandasamy berkata, beliau sememangnya ternanti-nanti dengan kehadiran mereka dan bertanya soalan kepadanya, namun hampa kerana tiada sesiapa muncul dalam program itu.
Katanya, sesi penerangan di seluruh negara itu adalah jalan terbaik untuk semua pihak mendapatkan penerangan mengenai 1MDB tetapi ia tidak digunakan sepenuhnya oleh pihak yang kononnya mahu penjelasan.
"Saya kecewa kerana sudah menjelajah ke seluruh negara serta mengadakan 31 sesi penerangan terbuka, termasuk dua di Pulau Pinang dengan sesiapa sahaja boleh datang tetapi tiada seorang pun pihak pembangkang yang datang dan berani bertanyakan soalan.
"Namun mereka membuka balik cerita lama malah memutar belit cerita itu untuk mendapat sokongan rakyat, itulah yang dilakukan mereka seperti Tony Pua yang membuat video hanya berdasarkan saman DOJ," katanya pada sesi penerangan di sini, tadi.
Dalam penerangan itu, Arul Kanda berkata, sehingga kini, kerajaan sudah mengambil langkah yang telus dan terbuka untuk menjawab segala isu mengenai 1MDB
"Syarikat ini sudah ditelanjangkan, malah ia menjadi syarikat paling banyak disiasat oleh pelbagai agensi berkuasa di negara ini,
"Untuk menjawab isu 1MDB, kita perlu 'cool' sahaja dan tidak boleh disertai dengan emosi. Oleh sebab itu selepas sesi bersama orang ramai, ramai yang sebelum itu emosi datang berjabat tangan dengan saya selepas sesi itu berakhir" katanya.
Mengulas pertanyaan orang ramai mengenai program jelajahnya, Arul Kanda menjelaskan beliau terpaksa berbuat demikian memandang isu 1MDB dibangkitkan semula oleh pihak tertentu pada tahun ini meskipun ia sebenarnya sudah reda pada tahun lalu.
"Pihak pembangkang bukan tidak tahu mengenai isu ini, mereka tahu segala-segalanya tetapi mereka tidak mahu faham.
"Mengenai laporan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang diletakkan dalam Akta Rahsia Rasmi (OSA), ia adalah keputusan PAC yang dianggotai 14 ahli parlimen dengan 5 daripadanya adalah dari parti pembangkang. Anda ingat mereka akan berdiam diri jika laporan itu mencurigakan," katanya.
Sumber : Berita Harian