Detik cemas peti undi dirampas
AYER HITAM: "Saya panik, tiba-tiba kereta dihalang sebelum dua peti undi dilarikan sekumpulan lelaki di depan pusat pengiraan undi," kata Penyelia Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam, Kamarul Hizam Jahari.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/WhatsApp_Image_2018-05-09_at_23.18.08.jpeg.transformed.jpg)
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Kamarul Hizam yang juga petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam perjalanan ke pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Seth, sebelum dihalang ratusan lelaki di depan pagar sekolah itu.
Katanya, kumpulan lelaki berkenaan bukan sahaja menahan kenderaan dinaiki mereka, malah memaksa membuka but kereta sebelum melarikan dua peti undi Parlimen Ayer Hitam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang.
Katanya, mereka panik apabila kumpulan lelaki berkenaan bertindak agresif namun lega apabila berjaya merampas semula dua peti undi itu.
"Kejadian berlaku terlalu pantas, keadaan bertambah kelam kabut apabila mereka berjaya melarikan dua peti undi ke tengah jalan raya. Kami bimbangkan keselamatan diri kerana mereka terlalu ramai dan pada masa sama dapat melihat mereka membuka peti undi berkenaan.
"Bagaimanapun, mereka tidak melakukan apa-apa tindakan lain sebelum kami berjaya merampas semula peti undi itu kira-kira 10 minit kemudian dan masuk ke SMK Dato Seth dengan bantuan polis," katanya ketika ditemui, sebentar tadi.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, mengesahkan setakat ini pihaknya menahan dua lelaki.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, selain pihaknya turut memanggil bantuan pasukan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengawal keadaan.
Sumber : Berita Harian