-->

Senyumannya masih sama...


PELAJAR dan rakan arwah diberi peluang melihat jenazah Dr Fadi M R Albatsh Fatma di unit perubatan Forensik Hospital Selayang. - Foto Zunnur Al Shafiq

GOMBAK: "Senyumannya masih sama, seperti ketika dia masih hidup," kata Ilman Abdul Razak, salah seorang pelajar Allahyarham Dr Fadi M R Albatsh Fatma yang berpeluang menatap wajahnya buat kali terakhir.
Pelajar semester empat jurusan Kejuruteraan Elektrikal itu berkata, semasa hayatnya Fadi memang seorang yang sering ceria dan selalu tersenyum.
"Senyuman itu yang tidak akan dapat saya lupakan, apabila berpeluang menatap wajahnya buat kali terakhir saya terkejut melihat senyuman itu masih ada.
"Beliau seorang pensyarah yang sangat baik kepada semua pelajarnya, saya tidak sangka selepas ini saya tidak berpeluang lagi untuk mendengar celotehnya dalam kelas," katanya kepada pemberita.
Pelajar semester empat jurusan Kejuruteraan Elektrikal, Muhammad Shariq Hazard, berkata wajah Allahyarham Fadi sangat tenang.
"Saya lihat dia seperti sedang tidur, sukar untuk mempercayai beliau sudah tiada.
"Beliau menjadi pensyarah saya sejak saya pelajar semester satu sehingga empat, dia seorang pensyarah yang hebat.
"Subjek yang sebelum ini sukar untuk difahami menjadi lebih mudah apabila beliau yang mengajar, malah dia sentiasa mengajar luar dari silibus," katanya.
Seorang lagi pelajar Fadi, Nur 'Izzati Mohd Danial, berkata dia antara yang terkesan dengan kejadian yang menimpa Allahyarham Fadi kerana dia adalah penyelia untuk projek tahun akhirnya dalam bidang kejuruteraan elektrik.
"Sampai satu tahap saya sampai terfikir untuk menangguhkan pengajian saya atas apa yang berlaku kerana saya seperti kehilangan mentor," katanya
Menurut Nur 'Izzati yang berasal dari Ipoh, Perak dia sudah dua tahun menjadi pelajar Fadi dan kali terakhir bertemu dengan Fadi, Jumaat lalu kira-kira jam 3 petang untuk berbincang mengenai projek akhirnya.
"Dia orang yang sangat mesra dan amat murah dengan senyuman.. dia akan beri salam terlebih dahulu sekiranya terserempak dengan kami, tidak mungkin ada musuh yang mahu menyakitinya.
"Saya bersyukur dapat menatap wajahnya buat kali terakhir.. tenang dan berseri-seri, namun saya berasa amat sayu dengan kejadian yang menimpanya," kata Nur 'Izzati dengan nada sebak.
Sumber  : Berita Harian

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel