-->

Bantai isteri, terajang mentua


SURI rumah dikenali sebagai Huda menunjukkan laporan polis selepas menjadi mangsa keganasan rumah tangga. - Foto Mary Victoria Dass

JOHOR BAHRU: "Bila saya tak nak beri duit untuk beli rokok, suami terus memukul kepala dan nyaris mencederakan adik lelaki saya."
Hanya ingin dikenali sebagai Huda, 22, ibu kepada dua cahaya mata berusia dua dan empat tahun itu mendakwa suaminya menceroboh rumah sewa ibunya di Tebrau di sini pada 7 April lalu dan turut mengasarinya.
Tidak lagi tinggal sebumbung sejak setahun lalu, Huda mendakwa ia bukan kali pertama suaminya bertindak ganas sedemikian.
"Apabila ibu menegurnya, suami saya menendang perut ibu dan memaki hamun. Malah, suami saya menceroboh rumah ibu tiga hari berturut-turut.
"Saya dan ibu sudah membuat lebih 10 laporan polis terhadap suami. Saya sudah memberi banyak ruang dan peluang untuk dia berubah sikap tetapi tidak dihargai apabila terus menimbulkan masalah.
"Sejak berumah tangga kira-kira lima tahun lalu, perbelanjaan keluarga termasuk susu dan lampin anak kerap ditanggung ibu yang bekerja di pasar pagi.
"Suami saya yang bekerja di kilang perabot langsung tidak menghiraukan soal kami," katanya.
Huda mendakwa pernah menjadi sasaran ugutan pemungut hutang yang menuntut bayaran RM2,000 dipinjam suaminya.
Kejadian itu mendorongnya membuat laporan polis pada 5 November tahun lalu di Balai Polis Pelangi Indah demi keselamatan ahli keluarga.
Pada 7 April lalu, katanya, adik lelakinya yang berusia 19 tahun nyaris disimbah air panas dan dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat tekanan perasaan.
Mendakwa diugut akan dibunuh oleh suam, Huda membawa anaknya menumpang di rumah rakan manakala ibunya berlindung di surau.
"Saya harap pihak polis menjalankan siasatan kerana saya bimbang suami mengulangi perbuatannya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata semakan mendapati lima laporan polis dibuat berhubung kejadian keganasan rumah tangga.
"Tiga laporan dibuat oleh seorang wanita berusia 42 tahun, manakala dua dilakukan oleh suri rumah berusia 22 tahun.
"Siasatan masih dilakukan dan kita giat mengesan suspek," katanya.
Sumber  : Berita Harian

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel