'Terus nikah, tak perlu bertunang'
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Azira Shafinaz, tidak mahu melangsungkan pertunangan, sebaliknya ingin terus bernikah dengan buah hatinya.
Menurut gadis berusia 26 tahun dari ibu kota itu, mengikut perancangan, mereka tidak perlu berbuat demikian kerana masing-masing sudah beberapa tahun saling mengenali.


Kumpulan De fam bakal muncul dengan single keempat dalam waktu terdekat -foto: Nurul shafina Jemenon
Begitupun kata anggota De Fam itu, walaupun memang ada perancangan untuk mereka mendirikan rumah tangga, namun tarikh muktamad untuk majlis berkenaan belum diputuskan lagi.
"Saya memang dalam fasa serius dengan teman lelaki, tetapi kami belum mendapat tarikh muktamad untuk berkahwin. Apa yang pasti, kami akan terus bernikah kerana masing-masing sudah lima tahun saling mengenali.
"Apabila sampai masanya nanti, saya pasti akan berkongsi berita gembira terbabit dengan semua. Saya mohon doakan yang baik-baik untuk kami," katanya kepada BH Online.
Azira turut menjelaskan, buat waktu ini dirinya enggan berkongsi identiti lelaki yang bertakhta di hatinya itu.
"Saya tidak mahu terlalu mendedahkan identiti beliau kerana menghormati ruang peribadinya. Begitupun, sesiapa yang memang mengenali dirinya, saya tiada masalah dalam hal itu," kata Azira.
Dalam perkembangan terkini, Azira berkata, De Fam bakal tampil dengan single keempat dalam waktu terdekat.
Biarpun rancak merencana kerjaya solo masing-masing, Azira menjelaskan kumpulan berkenaan masih teguh sebagai satu entiti.
"Ramai juga yang bertanyakan, apakah kami ada sudah membawa haluan berbeza kerana masing-masing sibuk dengan kerja sendiri. Apa yang penting, kami percaya terhadap satu sama lain," kata Azira.
Selain Azira, kumpulan yang cukup popular dengan lagu Supergirls itu turut dianggotai oleh Cik Manggis dan Sophia Liana.
Sumber : berita harian