Nadzmi hampir berputus asa
PETALING JAYA: Pelakon Nadzmi Adhwa mengakui, pernah hampir berputus asa meneruskan kerjaya seni selepas terpalit dengan kontroversi penemuan ganja dalam kereta pada November tahun lalu.

PELAKON, Nadzmi Adhwa. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

PELAKON, Nadzmi Adhwa. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Nadzmi, 26, berkata, kontroversi itu hampir membuatkan dia terfikir untuk beralih kepada kerjaya lain apabila tidak menerima tawaran selama empat bulan.
"Saya hampir berputus asa dan pernah terfikir untuk berhenti daripada menjadi anak seni. Selama empat bulan, saya langsung tidak menerima tawaran berlakon hingga terfikir untuk mencuba bidang lain.
"Kejadian itu benar-benar meninggalkan kesan hitam kerana ia bukan perkara kecil, terutama apabila membabitkan nama baik keluarga. Biarpun tidak bersalah, sukar untuk saya mengikis persepsi orang luar.
"Namun, saya percaya rezeki tetap ada selagi kita berusaha. Itu yang saya cuba lakukan apabila kembali diberi kepercayaan. Saya perlu bermula dari bawah semula," katanya.
Nadzmi yang ditemui pada sesi temu bual bersama calon Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) di Sri Pentas, di sini, semalam berkata, sebagai membuka lembaran baharu dalam kerjaya seninya, dia mengambil keputusan untuk berdikari.
Meskipun kontraknya bersama syarikat pengurusan, MindOrder Sdn Bhd masih berbaki lima bulan lagi, Nadzmi mengambil keputusan untuk menguruskan sendiri kerjaya seninya.
Katanya, dia juga mengambil langkah meneruskan pengajian di peringkat Sarjana dalam jurusan Rekaan Grafik di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam.
Nadzmi bagaimanapun, akur sukar melupakan kerjaya lakonan kerana kerana minatnya terhadap bidang itu masih mendalam.
Bercakap mengenai DFKL, Nadzmi menerima pencalonan awal bagi tiga kategori iaitu Pelakon Lelaki Pilihan, Pasangan Pilihan dan Drama Pilihan menerusi drama, Namaku Bedah.
Pencalonan itu katanya, membangkitkan semangat untuk dia terus berusaha dan melupakan kontroversi yang pernah melanda.
"Saya tidak menyangka watak sebagai Zuhairi Zori menjadi kerana karakternya tidak terlalu berat.
Mungkin juga mereka memandang kelebihan saya apabila menampilkan sisi lakonan berbeza dalam drama itu," katanya.
Sumber : berita harian