-->

Dibedil bertalu-talu, rakan maut depan mata

KUALA LUMPUR: Diserang hendap komunis dan dibedil bertalu-talu pihak musuh menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh seorang pesara polis ketika berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih empat dekad lalu.


PESARA polis, Ramlan Jamil. - Foto NSTP
Ramlan Jamil, 69, pernah bertugas sebagai Pasukan Polis Hutan (PPH) berkata, kejadian pada tahun 1975 itu menyaksikan tiga rakan seperjuangannya terkorban di depan matanya akibat terkena tembakan dari pihak komunis dan perkara itu masih segar dalam ingatannya.


"Kami diserang hendap pihak musuh di sempadan Malaysia-Thailand ketika berkonvoi pulang ke kem menggunakan trak dari sebuah perkampungan dalam kawasan Betong, Thailand.
"Secara tiba-tiba kami diserang dan dibedil bertalu-talu dengan beberapa peluru hampir mengenai badan saya, namun saya bernasib baik kerana masih diberikan umur yang panjang. Bagaimanapun, tiga rakan saya meninggal dunia dalam kejadian itu," katanya.
Ramlah menceritakan pengalaman itu ketika diraikan dalam Majlis Memperingati Hari Polis ke-211 sempena Majlis Ikrak Mikraj di Balai Wangsa Maju, di sini, semalam.
Seramai 22 pesara polis diraikan dalam majlis berkenaan dan pihak Balai Polis Wangsa Maju turut menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian sebagai mengenang jasa mereka.
Dalam majlis berkenaan turut diadakan ceramah sempena Israk dan Mikraj yang disampaikan Datuk Dr Hassan Ali. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju yang baru Deputi Superintendan Muhammad Najib Hamzah.
Ramlan berkata, dia berterima kasih kepada pihak balai atas inisiatif mengenalpasti pesara polis yang berada di sekitar Wangsa Maju dan meraikan mereka selain turut memberikan sumbangan.
"Kami tidak memandang bentuk atau jumlah sumbangan yang diberikan, pada saya, cukuplah generasi muda ketika ini mengenang jasa kami. Saya sangat berterima kasih kepada pihak Balai Polis Wangsa Maju atas inisiatif ini," katanya yang kali terakhir bertugas di Cawangan Khas Bukit Aman.
Sementara itu, Ketua Polis Balai Wangsa Maju Asisten Superintendan Fairul Nizam Anuar berkata, majlis berkenaan bertujuan memberi ruang kepada pihaknya untuk menghargai veteran polis dan dalam masa sama merapatkan jurang antara masyarakat dengan polis sekali gus dapat mengurangkan kadar jenayah.
Sumber  : Berita Harian

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel