Jangan mudah terima pembelot BN
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menyarankan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak sewenang-wenangnya menerima wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang 'melompat' untuk menyertai parti berkenaan.
AHLI Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Beliau berkata, walaupun pembaharuan perlu dilakukan untuk menyelamatkan negara, namun tidak semestinya dengan menerima wakil rakyat yang pernah menyokong kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak.
"Ini adalah sebab mengapa pembaharuan amat diperlukan sekarang memandangkan kesilapan mengurus negara berpunca daripada BN yang sudah tumbang.
"Tambahan pula, kemasukan bekas pemimpin BN akan mengakibatkan sokongan pengundi terhadap PH akan terhakis.
"Pengundi inginkan perubahan dan mereka memilih kita, namun perubahan ini akan dikompromi jika pemimpin BN menyertai PH.
"Keyakinan pengundi harus diutamakan dan kita perlu menghormati pilihan dibuat," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ramkarpal berkata, beliau yakin PH memiliki pemimpin berkaliber tanpa perlu mengharapkan bantuan pembelot BN untuk mencapai majoriti dua pertiga di Parlimen.
Katanya, usaha dan kerja keras berterusan diyakini dapat membantu PH memiliki majoriti dua pertiga yang sah di dalam Pilihan Raya Umum kK-15 (PRU-15) nanti.
"Kerajaan baharu seharusnya mencontohi teknik 'anti lompat parti' yang dipraktikkan menerusi undang-undang pertama yang diperkenalkan kerajaan DAP Pulau Pinang pada tahun 2012.
"Undang-undang itu memperuntukkan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mesti mengosongkan kerusi jika dia meletak jawatan, dipecat atau berhenti menjadi ahli parti (dengan beberapa pengecualian).
"Negara kita perlu dibersihkan daripada hukuman selepas enam dekad pemerintahan BN dan wajar jika PH menimbang semula keputusan dibuat tanpa melayan pimpinan BN yang membelot," katanya.
Sumber : Berita Harian