-->

Zizan bakal berlakon dengan Raffi Ahmad

KUALA LUMPUR: Artis serba boleh, Zizan Razak, 33, bakal bergandingan dengan aktor popular Indonesia, Raffi Ahmad, dalam filem terbitan negara itu.

Bersyukur dengan rezeki yang diterima, Zizan atau nama penuhnya Mohd Razizan Abdul Razak berkata, kerjasama bersama syarikat produksi dari negara jiran itu adalah yang pertama buat dirinya.


PELAKON dan pelawak, Zizan Razak. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Tidak lama lagi, saya akan berlakon filem Indonesia bersama Raffi. Setakat ini, kami sudah pun memeterai kontrak projek terbabit. Cuma, tajuknya saya kurang pasti.

"Insya-Allah, penggambaran akan dijalankan dalam masa terdekat. Syukur alhamdulillah, karier seni saya melangkah setapak lagi ke hadapan dan berharap agar ia berjalan dengan lancar," katanya kepada BH Online.

Ditanya bagaimana beliau dihulurkan tawaran berkenaan, Zizan memaklumkan, Raffi sendiri yang menghubungi selepas diperkenalkan oleh seorang pegawai perhubungan awam dari negara ini.

Pada masa sama, walaupun belum memulakan penggambaran, Zizan akui sedikit risau dengan penerimaan masyarakat Indonesia terhadap lakonannya.

"Saya tidak tahu bagaimana mereka akan menerima saya nanti? Bagaimanapun, apa yang penting, saya dapat melebarkan 'sayap' kerjaya ke negara seberang.

"Ia juga bukan soal mencari peminat semata-mata, tetapi lebih kepada langkah baharu dalam mengukuhkan kerjaya seni.


"Diakui, saya mempunyai sekelompok peminat kecil dari Indonesia yang menetap di negara kita. Jadi, insya-Allah, peminat seni hiburan di sana juga boleh menerima saya," tuturnya.

Sumber  : Berita Harian

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel