Perbaiki, bukan ubah kerajaan
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei ini menyaksikan pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang, selain Gagasan Sejahtera. Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan.
![Hasil gambar untuk Datuk Seri Najib Razak](https://www.fourthofficial.com/wp-content/uploads/2015/02/najib.jpg)
IPOH 15 MAC 2018. GAMBAR fail Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan pada Program Bajet 2018 bersama Penjawat Awam di Dewan Seri Perdana Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta, Perak pada 15 Mac lalu. - Foto Abdullah Yusof
Menurut statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 14,940,624 pengundi berdaftar bakal menentukan kepemimpinan negara dan kerajaan baharu dan melunaskan satu proses demokrasi yang segar.
Keghairahan PRU-14 kini boleh dilihat dengan perang poster, ceramah dan paling mengujakan, kempen melalui media sosial sama ada dalam Facebook, Instagram mahupun Twitter yang menyaksikan pelbagai pandangan, komen dan luahan golongan netizen terhadap proses demokrasi melalui pilihan raya.
Ini tidak termasuk kewujudan video nyanyian, parodi dan Pick Up Line yang memaparkan mesej pilihan raya dan mengundi secara kreatif.
PRU-14 kali ini umpama pesta demokrasi. Saban hari, kita disajikan dengan pelbagai pandangan dengan meraikan hak dan kebebasan bersuara rakyat Malaysia. Namun, dalam keghairahan kita berbicara dan memberikan pandangan, ia haruslah disulami dengan rasa tanggungjawab yang tinggi.
Lebih-lebih lagi, dengan penguatkuasaan Akta AntiBerita Tidak Benar 2018, rakyat Malaysia perlu lebih berhati-hati dengan apa yang dikongsikan dalam media sosial, khususnya membabitkan penyebaran berita palsu.
Rekod pembangunan
BN memasuki gelanggang PRU-14 dengan rekod pembangunan dan kemajuan sejak negara mencapai kemerdekaan 60 tahun lalu. Sebagai sebuah parti pemerintah yang berpengalaman mentadbir, BN menyediakan pelbagai tawaran melalui manifesto bertajuk 'Bersama BN Hebatkan Negaraku' bagi menambahkan lagi cerita kejayaan Malaysia untuk tempoh lima tahun akan datang.
Ini tidak termasuk dengan Manifesto BN setiap negeri yang tidak kurang meriahnya memberikan pelbagai tawaran untuk rakyat.
Pakatan pembangkang melalui manifestonya yang membawa slogan 'Membina Negara, Memenuhi Harapan' dilihat tidak lebih sebagai satu propaganda untuk menyamakan Malaysia sebuah negara yang gagal. Apatah lagi, kempen pakatan pembangkang sering kali membawa gambaran negatif terhadap segala usaha kerajaan selama ini.
Isu seperti pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan kos hidup yang tinggi dimanipulasikan sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat. Selain itu, pakatan pembangkang turut menghidangkan beberapa tawaran yang bersifat populis, mengambil kira implikasi kewangan yang tinggi, termasuk pendidikan tinggi percuma dan penghapusan kutipan tol.
Mengukur keupayaan BN yang selama ini menerajui kerajaan boleh terus dilakukan dengan melihat apa yang ada di depan mata kita. Apa yang pasti, negara kini berada pada landasan yang kukuh dalam pelbagai aspek yang boleh dinilai sama ada ukuran sendiri atau antarabangsa.
Berdasarkan ucapan Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, defisit fiskal negara dianggar terus berkurang kepada tiga peratus pada 2017, dan ia akan menurun lagi kepada 2.8 peratus pada 2018.
Rizab antarabangsa terkini pula, telah mencatat AS$101.4 bilion atau RM428.7 bilion yang mampu menampung 7.5 bulan import tertangguh. Pendapatan perkapita rakyat daripada RM27,819 pada 2010, kini meningkat kepada RM40,713 dan dijangka mencapai RM42,777 menjelang 2018.
Pengangguran bawah 4 peratus
Kadar pengangguran di negara ini kekal berada pada paras bawah 4 peratus setakat September 2017, iaitu pada kadar 3.5 peratus atau seramai 504,100 orang penganggur. Selain itu, sektor pendidikan yang menjadi tonggak transformasi negara akan terus diupayakan lagi oleh kerajaan dengan pelbagai inisiatif dan bantuan.
Lebih khusus, sektor pendidikan tinggi negara terus dibugarkan untuk menjana insan dan tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi yang akan memacu pembangunan, kemajuan dan transformasi negara. Kita juga berbangga dengan kualiti institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan yang kini setanding dengan IPT di luar negara, berdasarkan ranking pada peringkat global.
Selain itu, kita turut menyaksikan pembangunan infrastruktur asas yang sangat pesat di Sabah dan Sarawak juga di Semenanjung. Lebuhraya Pan-Borneo serta jalan raya penghubung sudah tentu akan menjadi game changer kepada pembangunan rakyat di kedua-dua negeri, selain dari pelbagai lagi inisiatif lain yang turut dirancang.
Tidak kurang aspek lain yang terus dimajukan termasuk kesihatan, keselamatan dan peluang pekerjaan dan keusahawanan.
Pada masa yang sama, hala tuju negara melangkaui 2020 sangat jelas dengan pelbagai pelan pembangunan dan transformasi demi kesejahteraan rakyat. Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) misalnya memberi tumpuan kepada usaha menyiapsiagakan rakyat untuk masa hadapan.
Transformasi Nasional 2050 atau TN50 pula digubal sebagai usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju bagi tempoh 2020 hingga 2050, yang akan turut menyasarkan negara menjadi antara 20 negara teratas di tangga dunia dalam ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi.
Tambahan lagi, agenda TN50 dibentuk melalui proses demokrasi idea generasi muda yang menghimpunkan aspirasi mereka dalam pelbagai aspek kehidupan masa depan.
Hakikatnya, PRU-14 bukanlah soal memilih pemimpin dan kerajaan semata-mata, sebaliknya ia bakal menentukan jaminan masa depan rakyat Malaysia. Justeru, hak mengundi dalam PRU-14 ini wajar direbut oleh mereka untuk menambah kisah kejayaan negara yang sedia ada, bukan mengubah apa yang telah kita bina selama ini.
Pemikiran yang rasional dan bukan emosi sangat diperlukan untuk membuat penilaian. Janganlah bereksperimen. Yang diperlukan ialah tambah, bukan ubah! Selamat mengundi.
Penulis adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Profesor Negara
Sumber : Berita Harian