-->

'Kalau komen nanti orang kata saya gedik'


KUALA LUMPUR: Penyanyi Siti Nordiana yang digosipkan rapat dengan pelakon Fikry Ibrahim menjadi tak keruan dan malu-malu apabila diminta kepastian mengenai hubungannya dengan pemenang tempat ketiga program Lawak Solo itu.

PENYANYI dan pelakon, Siti Nordiana. - Foto Salhani Ibrahim

Malah, Siti Nordiana atau mesra disapa Nana berkali-kali memohon supaya tidak lagi diajukan soalan berkaitan perkara itu. Ini kerana katanya, bimbang jawapan diberi disalah tafsir.
"Janganlah tanya saya pasal dia (Fikry) sebab saya memang tak tahu nak jawab apa. Nanti kalau saya ulas juga perkara ini, orang kata saya gedik pula.
"Apa yang boleh saya katakan, cinta memang tak boleh dipaksa. Tapi kalau sudah jodoh nak buat macam mana?" katanya kepada BH Online.
Siti Nordiana yang baru muncul dengan single berjudul Hatiku Milikmu ini turut menepis dakwaan kononnya kemunculan Fikry dalam muzik videonya seolah-olah mengesahkan dakwaan mereka sedang hangat dilamun cinta.
"Saya pilih Fikry sebab kami pernah bekerjasama. Sebelum ini pun, saya pernah mengundang Alif Satar untuk muncul dalam muzik video saya.
"Alvin Chong yang turut berlakon dalam muzik video ini juga menjadi pilihan saya. Ini kerana kami pernah berkolaborasi sebelum ini. Kesimpulannya, pilihan saya adalah disebabkan faktor serasi dan keselesaan, bukannya ada maksud lain," tegas penyanyi berusia 33 tahun ini.
Siti Nordiana dan Fikry dikatakan rapat selepas mereka digandingkan dalam telefilem berjudul Cekelat Semanis Honey yang ditayangkan, tahun lalu.
Mereka juga mengacarakan program realiti Gema Gegar Vaganza 2 bersama Fakhrul daripada kumpulan UNIC.
Semalam, Siti Nordiana mengumumkan konsert Just Us - Alif Satar & Siti Nordiana Live Concert In Singapore akan diadakan di republik itu, Ogos depan.
Konsert yang julung kali menyaksikan gabungan dua selebriti tersohor itu bakal berlangsung di Shine Auditorium, Shaw Tower pada 31 Ogos.
Sumber  : Berita Harian

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel